ABDUL Hamid. FOTO Saifullizan Tamadi
ABDUL Hamid. FOTO Saifullizan Tamadi
Raja Noraina Raja Rahim

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia mengerahkan 18,000 anggota simpanan jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, keadaan itu bergantung kepada arahan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

“Saya memberi jaminan kita sudah bersiap sedia melaksanakan PKP kalau ada kemungkinan ia (tempoh PKP) dipanjangkan. Kita sudah bersedia dengan 18,000 anggota simpanan berbanding 42,000 bertugas setiap hari.

“Keadaan ini bergantung kepada nasihat kementerian yang bermesyuarat setiap hari. Saya akan membuat persediaan dan akan menunggu kementerian untuk beri maklumat dan apabila diputuskan kalau perlu dipanjangkan, PDRM bersedia melaksanakan tanggungjawab dengan bantuan tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual khas sempena Hari Polis Ke-213 di Selamat Pagi Malaysia (SPM), hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku pergerakan pulang orang ramai dari kampung ke ibu kota pada 31 Mac ini, Abdul Hamid menasihati orang ramai supaya mematuhi setiap arahan dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa dan panik sebaliknya mengikuti perkembangan semasa daripada KKM dan kerajaan dengan kekal di mana berada.

“Sekali lagi saya nasihatkan supaya kekal di rumah dan patuhi arahan. Tiada guna bergerak kerana ia menambah lagi risiko (penularan virus) kepada keluarga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 4:24 PM
    Digital NSTP Subscribe