PENDUDUK PPR Sentul Murni, Helmi Apendi, 54 dan isterinya Azizah Muhammad, 48, gembira dengan berita pegecualian sewa. FOTO Fathil Asri
PENDUDUK PPR Sentul Murni, Helmi Apendi, 54 dan isterinya Azizah Muhammad, 48, gembira dengan berita pegecualian sewa. FOTO Fathil Asri
Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan mengumumkan beberapa insentif antara lain bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah dan menangguhkan pembayaran sewa rumah serta premis perniagaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, insentif itu di bawah Cakna Wilayah yang diwujudkan bagi membantu sosio ekonomi rakyat termasuk peniaga yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, ia dibahagikan kepada tiga kluster berlainan iaitu petugas, pesakit dan Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) Covid-19 serta warga kota yang memerlukan membabitkan peruntukan berjumlah RM63 juta.

“Kluster pertama membabitkan 5,000 petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan yang sedang bekerja dalam keadaan ini (PKP) akan diberikan elaun tambahan RM200 dan sumbangan pek makanan dengan peruntukan lebih RM5 juta.

“Kluster kedua membabitkan pesakit Covid-19 dan PUI menerusi bantuan ‘one-off’ RM500 kepada mangsa positif di Putrajaya, RM2,500 jika berlaku kematian di kalangan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

“Selain itu, kita memberi bantuan peralatan kepada tujuh hospital di WPKL. Kita turut menyediakan pusat kuarantin dan saringan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membabitkan peruntukan RM3 juta,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagi kluster ketiga iaitu bantuan kepada warga WPKL yang membabitkan peruntukan melebihi RM50 juta, Annuar berkata, ia diberikan kepada golongan miskin bandar, berpendapatan rendah dan penjaja.

Beliau berkata, penyewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL membabitkan 40,000 keluarga dikecualikan bayaran sewa selama sebulan dan boleh menangguhkan bayaran sewa bagi dua bulan berikutnya.

“Begitu juga pembeli rumah melalui pinjaman Yayasan Wilayah Persekutuan dibenar menangguhkan pembayaran balik pinjaman untuk tempoh enam bulan seperti mana moratorium bank,” katanya.

Malah beliau berkata, seramai 65,000 keluarga yang tinggal di rumah awam dan 1,000 keluarga di kawasan Putrajaya yang berpendapatan rendah juga menerima bantuan barang keperluan asas bernilai antara RM70 hingga RM100.

Bagaimanapun, katanya, kaedah pemberian sama ada melalui kupon, tunai atau pengedaran akan diputuskan kemudian dengan mengambil kira langkah penjarakan sosial dan PKP.

Selain itu, Annuar berkata, seramai 6,000 penyewa premis DBKL dikecualikan membayar sewa selama tiga bulan bermula Mac hingga Mei manakala peniaga yang menyewa premis milik Perbadanan Putrajaya dikecualikan sewa selama dua bulan.

“Seramai 17,617 penjaja kategori bazaria, food truck, gerai tepi jalan, pasar malam, pasar terbuka, penjaja beredar pemegang permit sementara, penjaja waktu terhad dan pengusaha pasar tani akan diberikan sumbangan RM500. Ini sebagai meringankan bebanan kerana aktiviti perniagaan tertangguh.

“Kemudian bagi 6,000 peniaga lain bukan dari kategori itu boleh memohon kepada DBKL, Perbadanan Putrajaya atau Labuan untuk skim tambahan yang akan dibiayai oleh MAIWP,” katanya.

Tambah beliau, golongan gelandangan juga tidak dikecualikan daripada menerima bantuan di mana mereka ditempatkan di tiga premis khusus sepanjang tempoh PKP dan akan menerima bantuan makanan setiap hari.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 4:42 PM
    Digital NSTP Subscribe