MOHD Shafie Apdal.
MOHD Shafie Apdal.
BERNAMA

SABAH mengumumkan Pakej Bantuan COVID-19 Sabah membabitkan peruntukan RM670 juta bagi meringankan beban dan kesulitan dihadapi pelbagai lapisan masyarakat di negeri itu yang terjejas berikutan penularan wabak Covid-19.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan 15 langkah yang telah dirangka dan dirangkumkan di bawah pakej itu membabitkan tiga kategori termasuk bantuan kepada petugas barisan hadapan serta bantuan kepada rakyat terjejas.

Menurutnya, pakej berkenaan turut memberi perhatian bagi memperkukuh perniagaan serta menambah baik kualiti infrastruktur dan kemudahan asas di luar bandar.

Mohd Shafie berkata, antara pakej diperkenalkan adalah bantuan khas tunai sebanyak RM500 seorang secara ‘one-off’ kepada setiap ketua isi rumah miskin dan ketua isi rumah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih membabitkan peruntukan RM20 juta.

“Bantuan ini dijangka memberi faedah kepada seramai 22,456 ketua isi rumah miskin dan 15,747 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh Sabah,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Bagi golongan B40 pula, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM80 juta untuk membantu golongan berkenaan termasuk anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung, pemandu-pemandu teksi, nelayan, ‘porter’ malim gunung, warga emas, anak-anak yatim, orang kurang upaya dan ibu tunggal.

“Golongan B40 Sabah ini akan diberikan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM300 seorang, katanya.

Mohd Shafie berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi membantu rakyat di seluruh Sabah yang terkesan dengan wabak itu dan RM18 juta daripadanya adalah untuk bantuan keperluan bahan makanan di kawasan kampung.

“RM2 juta lagi adalah untuk membantu dan meringankan masalah kewangan dalam menampung keperluan harian dihadapi pelajar Sabah di Semenanjung ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu,” katanya bantuan berkenaan akan disalurkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM60 juta untuk golongan barisan hadapan termasuk doktor dan jururawat, RM50 juta daripadanya adalah untuk bekalan barangan guna pakai dan peralatan kritikal dalam menjalankan tugas seperti penutup mulut dan hidung, cecair basmi kuman serta pakaian perlindungan.

“RM10 juta lagi bantuan makanan dan keperluan kepada golongan petugas barisan hadapan sebagai tanda keprihatinan terhadap komitmen mereka menjalankan tugas tanpa henti dalam membantu melaksanakan langkah diambil kerajaan untuk mengekang wabak itu, katanya.

Dalam perkembangan sama, bagi memperkukuhkan perniagaan serta menambah baik kualiti kemudahan asas luar bandar, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM40 juta untuk skim kredit peniaga-peniaga kecil sebagai usaha membantu golongan berkenaan menerusi penyediaan dana melalui Perbadanan Pinjaman Sabah.

Katanya, industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah turut dibantu menerusi peruntukan RM50 juta untuk Dana Industri Kecil dan Sederhana yang menawarkan kadar faedah serendah 3.5 peratus bagi memastikan industri itu terus berdaya tahan dalam tempoh ini.

“Memandangkan kerajaan negeri telah mengambil langkah untuk membantu, maka saya berharap supaya IKS di Sabah akan turut menjaga kebajikan pekerja dan kakitangan mereka dalam masa yang sukar ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak RM200 juta diperuntukkan menerusi pakej itu bagi melaksanakan 1,000 projek di kampung seluruh daerah di Sabah dan projek dilaksana akan menumpukan kepada usaha menambah baik kualiti dan liputan infrastruktur asas luar bandar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:34 PM
    Digital NSTP Subscribe