GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan


MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang bersetuju memotong 10 peratus gaji selama tiga bulan bermula April ini.

Wan Rosdy berkata, keputusan pemotongan gaji itu selepas beliau mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang, hari ini.

Katanya, dengan potongan gaji itu akan disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung Covid-19 Pahang yang dilancarkan Kerajaan Pahang.

“Keputusan ini diambil sebagai rasa bertanggungjawab dan tanda simpati ahli MMK terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya yang terkesan dengan wabak Covid-19.

“Semoga dengan potongan serta sumbangan kepada Tabung Covid-19 Pahang akan mendorong lebih banyak pihak untuk tampil dan turut menyumbang kepada tabung ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dalam kenyataan media berkata, seramai 10,000 penjawat awam Pahang bersedia memotong gaji untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19 Pahang sebagai tanda prihatin.

Katanya, hasil sumbangan penjawat awam itu, dianggarkan berjumlah RM100,000 sebulan.

“Usaha itu adalah pengorbanan penjawat awam di Pahang dalam menunjukkan solidariti bersama rakyat Pahang,” kata Dr Sallehuddin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 6:00 PM
    Digital NSTP Subscribe