AGENSI Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa pengguna kenderaan yang melalui Jalan Sulaman, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
AGENSI Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa pengguna kenderaan yang melalui Jalan Sulaman, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


KEBIASAANNYA setiap petang, jeti di sekitar Jambatan Gayang di Tuaran pastinya meriah dengan kehadiran kaki pancing dan nelayan yang membawa pengunjung bersiar-siar.

Bagaimanapun, suasana bertukar lengang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Tinjauan di lokasi peranginan itu mendapati semua jeti ditutup, malahan tiada pemancing atau perkhidmatan bot dilihat kecuali hanya beberapa kenderaan menggunakan jambatan berkenaan.

Keadaan itu jelas menunjukkan orang ramai termasuk pengusaha jeti serta nelayan bekerjasama dalam menangani penularan Covid-19 dan akur dengan arahan PKP.

Pemilik dan pengusaha jeti mahu dikenali sebagai Baharin, 59, berkata, sebaik mendengar perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung PKP, semua jeti ditutup serta-merta dan pihaknya melarang pemancing untuk memasuki kawasan berkenaan.

“Perkhidmatan bot yang membawa pemancing atau pengunjung untuk bersiar-siar turut dihentikan.

“Kami (pengusaha jeti) bersepakat menghentikan aktiviti kerana sedar akan kepentingan mencegah Covid-19 dan akur arahan supaya berada di rumah serta tidak berkumpul,” katanya.

Sementara itu, penduduk pekan Tamparuli mahu dikenali Jalinah John, 36, berkata, hanya ketua keluarga dibenarkan keluar dari rumah untuk urusan penting seperti mendapatkan barang keperluan.

“Setakat ini, pasar raya di sini mewajibkan pembeli memakai penutup mulut, menulis nama dan mencuci tangan sebelum memasuki premis.

“Pengguna mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pula, perlu berbaris dengan jarak satu meter antara satu sama lain,” katanya.

Tinjauan juga mendapati, hanya seorang individu menaiki kenderaan dibenarkan melepasi sekatan di Jalan Sulaman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Difahamkan, individu melepasi sekatan haruslah mempunyai surat kebenaran daripada majikan atau kad perakuan pekerja yang dibenarkan selain seorang individu berkepentingan membeli barang keperluan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 6:27 PM
    Digital NSTP Subscribe