MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO BERNAMA
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEMUA aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah dicadangkan ditangguh sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Perdana Menteri mengumumkan lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April depan berdasarkan perkembangan semasa peningkatan kes positif Covid-19.

“Melihat kepada perkara ini, saya dengan rendah hati mencadangkan aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah perlu untuk dilanjutkan sehingga berakhirnya tempoh PKP.

“Ini adalah selaras dengan Resolusi Dalam Talian Ahli-Ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 20 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Muzakarah bersetuju untuk mengambil ketetapan seperti penangguhan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah sebelum ini adalah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2020 atau mengikut apa-apa ketetapan yang diputuskan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

“Bagi perkara cadangan penangguhan, saya menyerahkan pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam di setiap negeri.

“Saya juga mengharapkan semua umat Islam dapat mematuhi arahan ini dengan menunaikan solat Zuhur pada hari Jumaat dan juga solat fardu di rumah atau di tempat masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 6:48 PM
    Digital NSTP Subscribe