SUSPEK ditahan apabila kereta dipandunya terbabas selepas kehabisan minyak di Jalan Bukit Bendera, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
SUSPEK ditahan apabila kereta dipandunya terbabas selepas kehabisan minyak di Jalan Bukit Bendera, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


LELAKI yang ditahan kerana memandu secara berbahaya sehingga melanggar sekatan jalan raya di Jalan Bukit Bendera di sini, awal pagi tadi, positif dadah syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, soal siasat yang dijalankan mendapati suspek mengaku melarikan diri daripada polis akibat takut ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Suspek turut mengaku baru mengambil dadah dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah syabu.

“Ujian saringan air kencing turut dilakukan ke atas wanita yang menaiki kereta suspek dan dia didapati positif dadah syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, kedua-dua suspek ini dipercayai baru mengambil dadah di kawasan Kolombong dan terkejut apabila anggota polis mengarah mereka berhenti.

“Hasil siasatan mendapati suspek lelaki ini pernah dipenjarakan atas kesalahan menagih dadah.

“Manakala wanita berusia 31 tahun itu adalah warga Filipina yang memiliki dokumen yang sah,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, suspek yang memandu kereta Hyundai Atos turut dinaiki wanita bersama anak perempuannya yang baru berusia 22 hari bertindak melarikan diri ketika diarah berhenti oleh anggota polis ketika menjalankan Ops Payung di Kampung Cenderakasih, Kolombong.

Susulan itu, beberapa anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengejarnya.

Selepas hampir sejam mengejar, kereta dinaiki suspek akhirnya berjaya ditahan selepas terbabas di satu selekoh di Jalan Bukit Bendera.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 8:06 PM