SULTAN Johor,  Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. FOTO Royal Press Office
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. FOTO Royal Press Office
Mohamed Farid Noh


SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar menyifatkan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini, sebagai tepat.

Menerusi entri di akaun Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah, baginda sentiasa mengambil maklum perkembangan terkini wabak Covid-19 dan usaha yang dilakukan Kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Susulan kes positif Covid-19 masih berlaku, saya melihat Perdana Menteri mengumumkan pelbagai tindakan serta langkah khususnya bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Perdana Menteri turut mengumumkan pelbagai inisiatif dan insentif dari semasa ke semasa bagi membantu rakyat khususnya yang terkesan akibat Covid-19.

“Saya ingin menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana beliau bukan sahaja menggerakkan pelbagai tindakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 malah Perdana Menteri juga amat memahami denyut nadi rakyat.

“Perdana Menteri juga membuat pengumuman awal mengenai keputusan perlanjutan PKP hingga 14 April ini dan saya melihat pengumuman awal ini suatu perkara yang tepat bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persiapan awal,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, Perdana Menteri juga sudah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan rapi bagi mengurus keperluan asas sepanjang tempoh PKP berkuat-kuasa.

“Ini sememangnya suatu tindakan yang baik dari Kerajaan. Saya juga amat berharap rakyat dapat mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan Kerajaan supaya kita dapat membendung segera penularan Covid-19.

“Saya sentiasa berdoa supaya situasi Covid-19 ini akan berakhir dengan segera. Insya-Allah,” titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 8:17 PM