ZULKIFLE Ab Rahman. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ZULKIFLE Ab Rahman. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukan RM1 juta sekaligus memberi manfaat kepada 10,000 keluarga asnaf dari seluruh negeri yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman berkata, dengan kerjasama kerajaan negeri melalui pemimpin tempatan, ketua jajahan, imam, penghulu serta penggawa, pihaknya mengagihkan sumbangan bernilai RM100 berbentuk barangan makanan asas untuk diberikan kepada 50 keluarga asnaf terkesan di 45 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, pihaknya juga menyalurkan sumbangan khas berjumlah RM600,000 kepada 602 masjid di setiap mukim untuk diagihkan kepada golongan asnaf atau kariah masjid yang terkesan dan dikenalpasti oleh iman di setiap masjid.

“Pada masa sama, kira-kira 50 tenaga kerja sambilan di MAIK yang sebelum ini menerima gaji harian termasuk tukang cuci, pemandu dan kerani dibayar gaji penuh bertujuan untuk meringankan beban mereka yang tidak bergaji sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“MAIK juga sudah mengagihkan bantuan bulan Mac kepada 9,015 penerima terdiri daripada golongan asnaf. Bagaimanapun, bagi 200 penerima bantuan bulanan secara tunai, pihak kami akan menyerahkannya kepada imam masjid bandar dan jajahan untuk diagihkan kepada penerima,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, MAIK akan sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh PKP.

“Bagi mereka yang tidak berkecukupan semasa Perintah Kawalan Pergerakan, kami membuka talian prihatin iaitu 09-7443660 yang beroperasi pada setiap hari Ahad hingga Khamis dari 9 pagi hingga 12 tengah hari atau boleh membuat aduan melalui Portal Rasmi MAIK (www.e-maik.my).

“Kami di MAIK mengharapkan semua pihak dapat bertenang dan bersabar dalam menghadapi situasi yang getir ini. Mudah-mudahan musibah yang menimpa negara berakhir secepat mungkin,” katanya.

Tambah beliau, MAIK berharap bantuan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban golongan yang terjejas akibat Covid-19 bagi meneruskan kelangsungan hidup

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 8:45 PM
Digital NSTP Subscribe