KOMUNITI pekerja di laut yang menjalankan tugas di kapal ketika tempoh PKP. FOTO Ihsan Komuniti Perkapalan Malaysia
KOMUNITI pekerja di laut yang menjalankan tugas di kapal ketika tempoh PKP. FOTO Ihsan Komuniti Perkapalan Malaysia
Nurul Hidayah Bahaudin


KOMUNITI Perkapalan Malaysia mahu kerajaan meneliti situasi dilalui individu berada di laut yang ‘terperangkap’ di kapal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Moderator Komuniti Perkapalan Malaysia Ahmad Badri Alwi berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan lanjutan PKP sehingga 14 April ini.

Katanya, sebagai satu daripada komponen penting, pelaut memastikan perkhidmatan pengangkutan laut terus berfungsi untuk menyokong rangkaian bekalan bagi memastikan barangan makanan, bahan api, ubat dan pelbagai barangan keperluan yang perlu diimport dari luar negara selamat di negara ini.

“Mereka sudah berkhidmat beberapa bulan dan kini terperangkap di atas kapal akibat sekatan bagi pertukaran anak kapal di seluruh pelabuhan di negara ini dan di pelabuhan lain di seluruh dunia.

“ Sekatan perjalanan darat dan udara pula menyebabkan anak kapal pengganti tidak dapat menaiki kapal.

“Di Malaysia, pergerakan pekerja pelantar minyak tidak terganggu tetapi pertukaran anak kapal offshore support vessel (OSV) yang beroperasi di tempat sama disekat hanya kerana perbezaan keperluan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, Komuniti Perkapalan Malaysia menyeru pihak berkuasa supaya melihat semula isu itu dan membuat keputusan wajar dengan menyediakan tindakan jangka masa pendek dan panjang sekiranya PKP serta sekatan perjalanan dilanjutkan.

Menurutnya, kebanyakan pelaut tidak mendapat gaji bulanan sebaliknya hanya menerima gaji apabila masih lagi dalam kontrak pekerjaan di kapal.

“Apabila cukup tempoh, pelaut akan bercuti untuk suatu tempoh agak panjang kerana sudah bertugas beberapa bulan di kapal dan perlu menunggu tempat mereka dikosongkan di kapal bagi tujuan penggiliran kontrak.

“Justeru, ada pelaut yang sudah bercuti di darat sejak Disember lalu dan dijadualkan bekerja semula pada Mac ini. “ Namun, akibat PKP, mereka tidak dapat memulakan kerja,” katanya.

Beliau berkata, pekerja di darat yang diberhentikan kerja serta cukup syarat lain boleh memohon bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), namun pelaut yang tamat kontrak tidak layak berbuat demikian.

“Justeru, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia perlu memberi bantuan kepada pelaut.

“Peruntukan boleh diperoleh daripada Kumpulan Wang Pusat Pengangkutan Laut (KWPPL) yang mana kumpulan wang berkenaan sememangnya berfungsi untuk membantu pelaut dalam pelbagai keadaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 12:03 AM
    Digital NSTP Subscribe