MAHKAMAH Syariah Terengganu. FOTO FB
MAHKAMAH Syariah Terengganu. FOTO FB
Malik Muhamad


SUAMI isteri yang sudah memfailkan permohonan untuk bercerai atau tuntutan pembubaran perkahwinan di Mahkamah Syariah di Terengganu boleh memikirkan semula hasrat itu.

Ini kerana mereka mempunyai tempoh bertenang sebulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan bagi membendung penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Pada masa sama, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) menangguhkan semua pendakwaan dan perbicaraan membabitkan 1,000 kes termasuk kes jenayah.

Selain itu, semua kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah di negeri itu juga tidak beroperasi sepanjang tempoh PKP itu yang bermula pada 18 Mac lalu.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, tempoh PKP itu adalah peluang terbaik buat pasangan yang berniat untuk memfailkan perceraian kerana mereka mempunyai tempoh bertenang.

“Saya nasihatkan pasangan yang sudah memfailkan permohonan untuk bercerai boleh mengambil inisiatif perdamaian sendiri dengan mengambil peluang dalam tempoh PKP itu.

“Ini kerana dalam tempoh PKP itu, tiada sebarang prosiding Sulh dan perbicaraan. Ini peluang terbaik buat pasangan untuk memikirkan semula kaedah penyelesaian ke arah yang lebih baik bagi mempertahankan keluarga dan memperbaiki kesilapan masing-masing.

“Tambahan pula, ketika negara kita dan seluruh dunia diuji dengan pandemik (Covid-19) itu, kita harus jadikannya sebagai iktibar untuk menginsafkan lagi diri kita semua,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kes tuntutan nafkah juga terbabit dalam tempoh penangguhan ini, tetapi beliau mengingatkan tanggungjawab ibu bapa untuk membayar nafkah kepada anak. “Kes nafkah ini tidak tertangguh, saya harapkan ibu bapa meneruskan tanggungjawab mereka masing-masing untuk membayar nafkah anak-anak mereka walaupun belum diperintahkan oleh pihak Mahkamah Syariah kerana itu adalah tanggungjawab.

“Sekiranya ibu bapa tidak melunaskan nafkah itu, ia tetap menjadi tunggakan pada bulan-bulan akan datang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 9:27 AM
    Digital NSTP Subscribe