X
RAKAMAN video yang dikongsi Aznil bersama Mizi. FOTO IG aznilnawawihm
RAKAMAN video yang dikongsi Aznil bersama Mizi. FOTO IG aznilnawawihm
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“TOLONGLAH jujur beri maklumat kerana Covid-19 bukan penyakit biasa,” rayu Mizi, seorang daripada kakitangan barisan hadapan yang kini dikuarantin selepas disyaki mempunyai simptom koronavirus baharu (Covid-19).

Menerusi rakaman video yang dikongsi pengacara terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi, Mizi memaklumkan dia menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur, sejak 20 Mac lalu.

Dia bertugas di Bahagian Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan menguruskan pesakit Covid-19 untuk dihantar ke HKL dan Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Saya dimasukkan ke HKL selepas badan rasa lemah sebelum saya menjalani ujian pengesanan Covid-19.

“Alhamdulillah, selepas tiga kali ujian, saya disahkan negatif namun belum dibenarkan keluar kerana masih demam, cirit-birit dan muntah,” katanya dalam perkongsian di Instagram Aznil, semalam.

Berkongsi lanjut mengenai kehidupannya, dia berkata, isterinya juga seorang jururawat di HUKM yang baru mula bertugas semalam selepas dikuarantin di rumah dan tidak mengalami simptom Covid-19.

“Saya sedih bila terkenangkan isteri dan keluarga. Mujur sehari sebelum ditahan wad saya ada beli barangan makanan.

“Untuk isteri, jaga diri, balik rumah terus mandi dan jangan pegang apa-apa. Abang minta maaf tak boleh buat apa-apa, doakan abang cepat balik,” katanya.

Dia juga meminta rakyat Malaysia untuk menerima arahan kerajaan agar terus berada di rumah bagi memutuskan rantaian virus itu selepas lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Sementara itu, Aznil juga mengucapkan terima kasih kepada Mizi dan barisan hadapan lain kerana mempertaruhkan nyawa demi negara.

“Terima kasih kerana mempertaruhkan nyawa awak untuk Malaysia,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 10:46 AM