ABDULLAH (kiri) menyerahkan barangan yang dipesan pelanggan. FOTO Md Fuzi Abd Lateh
ABDULLAH (kiri) menyerahkan barangan yang dipesan pelanggan. FOTO Md Fuzi Abd Lateh
Md Fuzi Abd Lateh


“HIDUP bujang dengan menyewa bilik RM200 sebulan memerlukan saya berusaha mencari rezeki walaupun tidaklah lumayan sangat,” kata Abdullah Yusof, 21, yang kini mencari pendapatan sampingan dengan menolong orang ramai membeli barangan keperluan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Abdullah mengayuh basikal kira-kira 50 kilometer dari pasar raya di Batang Kali ke rumah pelanggan setiap hari.

Katanya, dia memulakan kerja itu sejak 18 Mac lalu dengan meminjam basikal lama daripada seorang jiran yang tinggal di Taman Ligamas, Bandar Baru Batang Kali.

“Saya diberi upah dalam kadar RM1 hingga RM10 apabila bantu beli barang keperluan dapur pelanggan. Saya tidak tetapkan kadar upah tetapi lebih kepada keikhlasan hati mereka menyumbang.

“Basikal lama ini menjadi teman setia selepas saya kehilangan motosikal minggu lalu. Saya gembira berkayuh sendirian bertemu pelanggan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dia yang bekerja sebagai penghantar notis ejen hartanah itu memilih kerja sambilan sambil beramal ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Katanya, dia akan bertemu pelanggan terlebih dulu untuk mengambil pesanan barangan keperluan bersama wangnya.

“Setakat ini pendapatan saya mencukupi kerana masih mempunyai wang simpanan untuk meneruskan kehidupan di tempat orang. Lepas ini saya mahu pulang ke kampung di Terengganu,” katanya.

Abdullah membawa beg galas besar untuk mengisi barangan keperluan harian yang dipesan pelanggannya.

Katanya, khidmat penghantarannya merangkumi sekitar Bandar Baru Batang Kali, Antara Gapi hinggalah ke bandar Rawang.

Dia juga membantu pelanggan yang membuat pesanan makanan siap dibungkus dari restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 11:44 AM