TERTUDUH mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka. FOTO Juwan Riduan
TERTUDUH mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


DUA lelaki menjadi individu pertama di Sabah didenda dan dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini, kerana menghalang anggota polis yang menjalankan tugas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Yong Tze Hou, 26, dihukum penjara 10 bulan manakala Injimar Abu Gafar, 33, dikenakan denda RM6,000 atau penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Stephanie Sherron Abbie selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum kerana ia adalah kesalahan pertama dan kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Yong diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh dia ditangkap semalam dan Injimar akan dirujuk kepada pihak Imigresen.

Berdasarkan fakta kes, Yong didakwa menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis daripada melakukan tugas ketika menjalankan rondaan di kawasan Jalan Kampung Cenderakasih sehingga ke Jalan Bukit Bendera sehingga berlaku kejar-mengejar pada 1.30 pagi semalam.

Bagi Injimar, pemegang kad pengenalan merah didakwa menghalang penjawat awam iaitu seorang pegawai polis berpangkat Inspektor menjalankan tugas dalam sekatan jalan raya apabila enggan bekerjasama dan mengeluarkan kata-kata kesat di Jalan Tuaran Batu 7, Inanam pada jam 9.15 malam, 23 Mac lalu.

Pertuduhan terhadapnya kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Khairul Anuar Abd Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum, untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 12:22 PM