Ekhwan Haque Fazlul Haque


TAAT dan patuh kepada perintah ketua selain dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Itu pendekatan digunakan jemaah tabligh untuk hadir menjalani saringan pengesahan kesihatan susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Bagi Azrul Helmy Hafiz Ab Malek, 37, jemaah yang mengikuti usaha dakwah tabligh sememangnya diterapkan mengenai ketaatan kepada ketua dan perintah.

Menurutnya, sebaik kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru jemaah tabligh yang hadir ijtimak di Masjid Sri Petaling, ramai rakan jemaah patuh seterusnya menjalani saringan kesihatan di masjid berkenaan pada 12 Mac lalu.

AZRUL hadir menjalani saringan pengesahan kesihatan yang dikelolakan oleh KKM di Masjid Seksyen 7 Shah Alam. FOTO OSMAN ADNAN
AZRUL hadir menjalani saringan pengesahan kesihatan yang dikelolakan oleh KKM di Masjid Seksyen 7 Shah Alam. FOTO OSMAN ADNAN

“Jemaah yang hadir ijtimak hadir di masjid berkenaan dan klinik kesihatan seperti diminta kerajaan dan KKM kerana patuh kepada arahan itu.

“Hari ini saya dan rakan tabligh sekali lagi datang memberi sampel kepada KKM untuk diuji.

“Setakat ini saya masih tidak mempunyai simptom namun atas dasar tanggungjawab kepada negara dan orang lain saya tetap hadir di Masjid Seksyen 7, Shah Alam untuk sampel diambil,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

KKM membuka pusat saringan sementara di Masjid Seksyen 7 di Shah Alam bagi memudahkan jemaah tabligh hadir menjalani pemeriksaan.

Berdasarkan laporan KKM, dianggarkan seramai 16,500 jemaah menghadiri ijtimak yang berlangsung 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Azrul turut menyeru rakan dakwah yang hadir ke ijtimak tempoh hari hadir menjalani ujian saringan tanpa berlengah kerana kelewatan berbuat demikian akan memberi impak kepada masyarakat dan negara.

“Sebaik muslim adalah mereka yang memberikan manfaat pada orang lainm Jadi datanglah menjalani ujian saringan.

“Saya juga berharap pandemik ini akan berakhir secepat mungkin dan membolehkan usaha dakwah dapat diteruskan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 1:31 PM
    Digital NSTP Subscribe