PEGAWAI KPDNHEP Terengganu melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di di negeri ini. FOTO Ihsan KPDNHEP
PEGAWAI KPDNHEP Terengganu melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di di negeri ini. FOTO Ihsan KPDNHEP
Zatul Iffah Zolkiply


Peruncit terpilih atau Dedicated-Retailer (DDR) yang dilantik sebagai pusat bekalan barangan keperluan asas dibenarkan untuk menyimpan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan lesen.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, pelantikan itu dibuat sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PPK) bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas sepanjang tempoh berkenaan.

“Terdapat 40 DDR di seluruh Terengganu yang mana setiap parlimen mempunyai lima DDR yang dibenarkan untuk menyimpan lebih 20 peratus daripada had simpanan lesen dalam situasi kecemasan.

“Jika PKP dilanjutkan, DDR yang dilantik ini boleh tambah 20 peratus kuota sedia ada bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Saharuddin berkata, pihaknya turut melaksanakan pemantauan secara berterusan di premis perniagaan di seluruh Terengganu bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi.

Katanya, hasil pemeriksaan bermula 18 Mac hingga kelmarin, pemantauan di 104 premis mendapati bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi dan mudah diperoleh.

“Justeru, pengguna dinasihatkan tidak membuat pembelian panik dan merancang pembelian barang keperluan asas berdasarkan kepada keperluan sebenar.

“Sepanjang tempoh PKP, semua pasar raya, kedai serbaneka, kedai runcit dan pasar awam dibuka mengikut tempoh perniagaan sebagai mana yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, jadi pengguna perlu merancang sebaik mungkin waktu yang sesuai untuk membuat pembelian,” katanya.

Dalam pada itu, Saharuddin turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara tidak munasabah, menyorok bekalan barangan dan memanipulasi harga barangan di pasaran.

Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan PKP, pihaknya menerima aduan mengenai kenaikan harga.

Namun, katanya, ia masih terkawal dan pihaknya mengambil pendekatan menasihatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan.

“Pada masa sama, kerjasama peniaga amat diharapkan untuk melaksanakan kawalan secara kendiri dengan menentukan had jualan barangan yang bersesuaian bagi individu atau keluarga dalam memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati semasa membuat pembelian secara dalam talian supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik sesetengah pihak yang mengambil kesempatan menawarkan barangan tumpuan seperti cecair pembasmi kuman serta penutup mulut dan hidung dengan harga yang tidak munasabah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 1:35 PM
    Digital NSTP Subscribe