BERNAMA

PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) mencadangkan bakal jemaah yang telah membeli pakej umrah daripada pihaknya supaya tidak membatalkan tempahan.

Sebaliknya mereka disaran menghubungi agensi pelancongan masing-masing bagi penyusunan semula tarikh penerbangan, kata Presiden PAPUH Datuk Seri Razali Mohd Sham menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Razali, pihaknya mengadakan beberapa perbincangan dengan syarikat penerbangan yang mempunyai penerbangan terus ke Arab Saudi dan mereka bersetuju untuk menjadualkan semula tarikh penerbangan baharu.

“Pada Februari lalu, kerajaan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran visa (umrah dan pelancong) kepada rakyat Malaysia dan akhirnya menutup kemasukan jemaah umrah dari seluruh dunia ketika ini.

“Larangan sementara yang dikeluarkan oleh pihak Arab Saudi ini melibatkan tidak kurang daripada 50,000 jemaah Malaysia yang terpaksa menangguhkan hasrat untuk mengerjakan ibadat umrah,” katanya yang menyifatkan penggantungan itu langkah terbaik yang perlu dilakukan kerajaan Arab Saudi bagi membendung penularan Covid-19 menjelang musim haji akan datang.

Menurutnya, penggantungan itu memberi kesan kepada ahli PAPUH yang terpaksa menanggung kerugian lebih RM300 juta selepas bayaran untuk hotel penginapan, tiket penerbangan dan pengendali di Arab Saudi yang dilunaskan tidak dikembalikan kepada ahlinya.

“Kami menjangkakan dengan perkembangan Covid-19 ketika ini, ia akan melibatkan pakej-pakej sehingga bulan Ramadan nanti. Pun begitu kami berharap agar keadaan ini berubah menjelang musim haji pada Julai nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 2:23 PM
Digital NSTP Subscribe