FATIN Najwa Abdullah, 16, membuat kerja sekolah diberikan gurunya melalui aplikasi dalam talian.
FATIN Najwa Abdullah, 16, membuat kerja sekolah diberikan gurunya melalui aplikasi dalam talian.
Nurul Hidayah Bahaudin


KEBANYAKAN guru mengambil pendekatan menggunakan aplikasi dalam talian untuk mengajar murid dan pelajar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seorang bapa, Yazid Midin, 40, berkata, anaknya, Nur Nabila Natasha, 12, diminta memuat satu aplikasi dalam talian oleh gurunya untuk sesi pembelajaran bagi menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sejak minggu lalu.

Katanya, Nur Nabila yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Batu Kitang, Bau, Sarawak turut diberikan beberapa latihan yang perlu disiapkan dalam tempoh masa diberikan.

“Ada kerja sekolah (latihan) yang diberikan sebelum cuti sekolah lagi manakala tambahan kerja sekolah diberikan melalui aplikasi berkenaan untuk semua subjek.

“Pada masa sama, mereka juga diberikan soalan dan kuiz berbentuk model peperiksaan UPSR bagi membolehkan mereka meneruskan pelajaran dalam tempoh sekarang.

“Selain itu, kadang-kadang anak akan bertanyakan kepada guru dengan mengemukakan soalan tidak difahami mengenai kerja sekolah melalui kumpulan Whatsapp,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

NUR Nabila Natasha Yazid, 12, membuat kerja sekolah yang diberikan gurunya melalui aplikasi secara dalam talian sepanjang tempoh PKP.
NUR Nabila Natasha Yazid, 12, membuat kerja sekolah yang diberikan gurunya melalui aplikasi secara dalam talian sepanjang tempoh PKP.

Menurutnya, dia bimbang terhadap persediaan anak tunggalnya itu yang bakal menghadapi UPSR beberapa bulan lagi.

“Langkah diambil guru sekolah berkenaan amat bagus kerana membolehkan murid terus belajar dalam keadaan ini.

“Namun saya masih bimbang sesi pembelajaran di rumah akan menyebabkan perhatiannya terganggu.

“Ini kerana anak terdedah dengan tarikan seperti televisyen dan lain-lain yang mungkin akan menjejaskan fokusnya untuk belajar,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Tingkatan 4, Fatin Najwa Abdullah, 16, berkata, guru bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris meminta dia dan rakan sekelas memuat naik satu aplikasi secara dalam talian untuk sesi pembelajan sepanjang tempoh PKP.

“Dalam aplikasi itu, guru berkenaan akan memuat naik video dari sumber Youtube berkaitan bab yang dipelajari. Selain itu, guru juga memuat naik latihan yang perlu diselesaikan dalam tempoh seminggu.

“Sekiranya ada pelajar yang kurang jelas dengan soalan diberikan, kami boleh bertanyakan kepada guru di ruangan komen yang boleh dibaca semua pelajar,” katanya.

Fatin Najwa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg, Kuching, Sarawak berkata, walaupun inisiatif diambil guru berkenaan bagus, namun dia berharap dapat melakukan sesi pembelajaran secara bersemuka.

“Saya memahami ketika ini sesi pembelajaran di kelas adalah tidak dibenarkan kerana terdapat risiko jangkitan Covid-19.

“Justeru, inisiatif dilakukan guru berkenaan amat bagus untuk meneruskan pembelajaran walaupun dalam tempoh yang sukar ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 2:27 PM
    Digital NSTP Subscribe