KELIHATAN beberapa bot dihalang oleh pihak berkuasa ketika cuba merapat di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
KELIHATAN beberapa bot dihalang oleh pihak berkuasa ketika cuba merapat di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


MASIH ada bot penduduk dari Pulau Gaya di sini, cuba masuk ke Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, walaupun kerajaan menguatkuasakan larangan keluar masuk di pulau berkenaan.

Tinjauan mendapati puluhan bot kecil penduduk dari Pulau Gaya cuba memasuki jeti kira-kira jam 7 pagi tadi.

Bagaimanapun, bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjalankan operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengarahkan mereka berpatah balik.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Rosli Abdullah berkata, pasukan APMM bersama PDRM berkawal di kawasan berkenaan sejak jam 6 pagi.

“Kebanyakan penduduk terbabit memberi alasan yang tidak mendesak untuk mereka mendarat di jeti berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, daripada pemerhatian ini mendapati mereka masih berdegil dan tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Pihak berkuasa juga menghadkan kemasukan kepada empat bot sahaja dalam satu masa untuk mengelakkan berlaku kesesakan di jeti.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai alasan kukuh untuk mendarat diarahkan berpatah balik,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak APMM dan PDRM akan terus bertegas terhadap mereka dan meneruskan pemantauan.

“Operasi ini akan dijalankan pada setiap hari sehingga tamat arahan PKP ini,” katanya.

Pulau Gaya ditutup daripada sebarang aktiviti kemasukan atau keluar oleh orang awam selepas kes Covid-19 dikesan di kawasan berkenaan kecuali perkhidmatan penting dan barangan penting sahaja dibenarkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 2:41 PM
    Digital NSTP Subscribe