GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar bersama Kementerian Pertanian dan Asas Tani boleh mendidik rakyat dengan memfokuskan tanaman hidroponik sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ia bertujuan membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran makanan sendiri.

“Tanaman hidroponik adalah contoh ideal untuk semua golongan termasuk yang tinggal di bandar atau di luar bandar kerana ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja sama ada di belakang rumah, dapur atau halaman rumah.

“Dengan bantuan serta bimbingan pihak kementerian, agensi kerajaan dan pihak korporat, saya percaya kita dapat meningkatkan persediaan rakyat dalam mendepani apa-apa jua kemungkinan dan seterusnya melindungi kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Dr Najmil berkata, rakyat juga perlu bersedia daripada pelbagai aspek susulan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April ini.

“Kita tidak tahu bila wabak Covid-19 akan pulih dan jika ia berlarutan, tentunya ia akan menjejaskan kelangsungan hidup rakyat.

“’Food security’ atau keselamatan makanan adalah aspek utama dalam kelangsungan hidup di mana keperluan untuk mendapatkan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat.

“Apa yang pasti, rakyat perlu bersedia dengan segala kemungkinan dan perlu terus dibantu oleh kerajaan dan pihak korporat dengan pelbagai inisiatif yang meringankan beban,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 3:14 PM