ISTANA Negara. FOTO arkib NSTP
ISTANA Negara. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengenal pasti punca jangkitan Covid-19 bagi tujuh kakitangan Istana Negara yang disahkan positif.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, kesemua mereka berada di Hospital Kuala Lumpur sejak Selasa lalu dan dalam keadaan stabil.

“Berikutan tujuh kes positif jangkitan virus ini dan sebagai tindakan proaktif, Istana Negara dengan kerjasama KKM khususnya Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Kesihatan Kepong melaksanakan kaedah terperinci mengenal pasti kontak rapat dan kakitangan bertugas di Istana Negara bersama tujuh kakitangan berkenaan.

“Semua kontak rapat dan kakitangan berkenaan diarahkan menjalani proses saringan jangkitan Covid-19 untuk memastikan penularan virus ini dapat dikawal dan dicegah di Istana Negara selain diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari mulai semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disahkan negatif virus itu.

“Lanjutan daripada proses saringan ini, baginda berdua sedang menjalani kuarantin diri selama 14 hari bermula semalam.

“Baginda dinasihatkan supaya tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat mingguan pra-kabinet dijadualkan berlangsung semalam dan sesi berikutnya sehingga situasi pandemik ini pulih,” katanya.

Menurutnya, Baginda menzahirkan sokongan kepada pengumuman awal keputusan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini.

“Baginda turut berharap semua rakyat Malaysia tabah menghadapi dugaan dan terus memberi sokongan kepada petugas kesihatan dan keselamatan.

“Baginda turut menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan cadangan melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara pada hari yang akan ditentukan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini.

“Istana Negara akan terus melaksanakan kerja pembersihan dan pembasmian kuman yang menyeluruh mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan KKM,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 3:15 PM
    Digital NSTP Subscribe