GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menahan 19 individu termasuk 17 warga asing atas pelbagai kesalahan di kawasan Pangsapuri Desa Aman Puri, Gombak, malam tadi.

Menerusi Ops Covid-19 yang bermula pada 9 malam itu, semua individu ditahan terdiri daripada dua warga tempatan, Afrika (9), Myanmar (2), Thailand (4) dan Sri Lanka (2) berusia antara 30 hingga 53 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, operasi dijalankan JSJN Selangor dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, polis mengesan beberapa kesalahan termasuk penyalahgunaan dan pengedaran dadah selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Kita tahan dua warga tempatan dan seorang warga Thailand disyaki terbabit kes dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sundralingam berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu seberat 55 gram, pil Erimin 5 (200 biji) dan ganja (10 gram) dianggarkan bernilai RM10,000.

“Suspek lain pula ditahan kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan selain tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 3:24 PM
Digital NSTP Subscribe