Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi di hadapan Ibu Pejabat MPK hari ini. FOTO ihsan MPK
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi di hadapan Ibu Pejabat MPK hari ini. FOTO ihsan MPK
Shahrinnahar Abd Latib


SERAMAI 271 pemandu teksi di sekitar Kuantan menerima sumbangan daripada kerajaan negeri dengan menggunakan kaedah secara pandu lalu di hadapan Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) hari ini.

Sumbangan berupa barangan makanan dan wang tunai yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pegawai Perhubungan Awam MPK, Norkamawati Kamal berkata, menerusi kaedah pandu lalu ini, pemandu teksi yang menerima bantuan tidak perlu turun dari kenderaan untuk mengambil bantuan.

“Pegawai dan kakitangan MPK yang akan meletakkan barangan makanan berkenaan ke dalam kereta penerima.

“Kita harapkan sumbangan ini dapat meringankan beban yang dihadapi terutamanya yang terkesan secara langsung dan terputus sumber pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menteri Besar Pahang sebelum ini mengumumkan peruntukan khas kerajaan negeri sebanyak RM3.587 juta di mana ia membabitkan pemberian bantuan khas tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM150 dan barangan makanan seperti beras, tepung dan gula bernilai RM50.

Ini akan membabitkan 17,935 penerima yang terdiri daripada mereka yang terkesan secara langsung dan terputus sumber pendapatan disebabkan PKP.

Proses agihan bantuan khas itu diuruskan oleh Pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 3:24 PM