PEMANDU e-hailing menguasai 90% perkhidmatan pengangkutan awam darat di Malaysia terjejas susulan penularan pandemik Covid-19. FOTO Arkib NSTP
PEMANDU e-hailing menguasai 90% perkhidmatan pengangkutan awam darat di Malaysia terjejas susulan penularan pandemik Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN tidak meminggirkan pemandu e-hailing sebaliknya mempunyai perancangan khusus untuk mereka yang terjejas susulan penularan pandemik Covid-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan sedar golongan itu menguasai 90 peratus perkhidmatan pengangkutan awam darat di Malaysia dan mereka akan mendapat manfaat daripada langkah diambil kerajaan.

Menurutnya, perkara itu akan disentuh dalam pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin esok dan beliau meminta supaya mereka bersabar serta tabah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya mengambil maklum pelaksanaan PKP dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19 ketika ini memberi kesan kepada 115,000 pemandu e-hailing seluruh negara. Malah, perniagaan berasaskan e-hailing turut merosot sekitar 80 hingga 90 peratus.

“Sebagai Menteri Pengangkutan, saya sudah menyuarakan perkara ini kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Kami (kerajaan) tidak sesekali meminggirkan pemandu e-hailing yang menguasai 90% perkhidmatan pengangkutan awam darat di Malaysia. Segala usaha untuk membantu mereka dan pemandu teksi sudah pun ada dalam perancangan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Muhyiddin memaklumkan akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh.

Katanya, ia adalah pakej yang memberi manfaat kepada semua sama ada pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger dan pekerja harian.

“Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat. Insya-Allah, no one will be left behind,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 3:58 PM
    Digital NSTP Subscribe