FOTO HIASAN
FOTO HIASAN


SEMUA operasi premis perniagaan yang dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor hanya boleh beroperasi bermula 7 pagi hingga 7 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil berkata, ia selaras dengan matlamat di bawah PKP untuk meminimumkan pergerakan.

Katanya, PBT telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada semua premis perniagaan dan sedang menguatkuasakan waktu premis perniagaan beroperasi.

“Bagaimanapun, beberapa jenis perniagaan boleh beroperasi seperti biasa iaitu pusat dialisis dan klinik-klinik swasta.

“Stesen minyak akan beroperasi seperti yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kecuali operasi kedai serbaneka di stesen minyak (7 pagi hingga 7 malam),” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bagi bengkel baik pulih kenderaan, kedai alat ganti dan tayar pula hendaklah mendapat kelulusan PBT terlebih dahulu.

“Pengusahanya dinasihati untuk menawarkan perkhidmatan atas permintaan,” katanya.

Jelas Ayub, kesemua langkah ini dilakukan bagi menghalang penularan Covid-19.

“Saya seru semua orang untuk berganding bahu bersama kerajaan dalam membendung penularan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 3:59 PM
    Digital NSTP Subscribe