MOHAMAD Firdaus Rasdi bersama ibunya Noriah Ab Razak (tengah) dan isteri Nafisah  Jamalludin ketika Majlis Graduasi Universiti Zagazig, Mesir. FOTO Ihsan Firdaus
MOHAMAD Firdaus Rasdi bersama ibunya Noriah Ab Razak (tengah) dan isteri Nafisah Jamalludin ketika Majlis Graduasi Universiti Zagazig, Mesir. FOTO Ihsan Firdaus
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PENUTUPAN lapangan terbang utama di Mesir sehingga pertengahan April bagi mengekang penularan Covid-19 menjadi punca penuntut Malaysia yang sudah bergraduasi tidak dapat pulang ke tanah air.

Mohamad Firdaus Rasdi, 27, berkata, graduan Malaysia yang sudah selesai bergraduasi perlu menunggu kebenaran daripada kerajaan Mesir sebelum dibenarkan pulang.

Dia yang baharu bergraduasi bersyukur kerana ibunya yang hadir ke majlis graduasi sempat pulang ke Malaysia sebelum larangan berkenaan dilaksanakan.

“Saya rancang untuk pulang sebelum Aidilfitri selepas selesai beberapa urusan membabitkan sijil dengan universiti.

“Jika diikutkan kes (Covid-19) di Mesir masih rendah namun kadar kematian yang tinggi menyebabkan kerajaan mengetatkan urusan keluar masuk ke negara ini,” katanya yang kini berada di Zagaziq, Mesir ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mohamad Firdaus graduan perubatan dari Universiti Zagaziq bergraduasi pada 1 Mac lalu sebelum Mesir menguatkuasakan perintah pergerakan terhad kepada warganya.

Mengulas lanjut, Mohamad Firdaus berkata, sesi kuliah di universiti ditangguhkan selama dua minggu manakala restoran ditutup bermula, 7 malam hingga 6 pagi.

“Ini kali pertama saya berada di luar negara dalam keadaan menularnya pandemik Covid-19. Rasa sedikit asing dan terkilan kerana ada yang mengejek dan menjauhkan diri seolah-olah kami membawa penyakit.

“Keadaan itu menyebabkan saya rasa berat hati untuk keluar membeli kelengkapan asas rumah,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Mesir mengenakan perintah berkurung kepada warganya bermula jam 7 malam hingga 6 pagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:04 PM