GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Ismail


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Segamat menasihati orang ramai supaya tidak menyimpan petrol dalam kediaman bagi mengelak kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abd Razak berkata, ada pihak yang menularkan menerusi WhatsApp meminta pemilik kenderaan menyimpan petrol di kediaman kononnya bekalan bahan api bakal habis akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pandangan ini tidak benar. Ia bukan sahaja menyebabkan orang ramai panik malah jika dilakukan, ada kemungkinan boleh menyebabkan kebakaran,” katanya ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat di Jalan Abdullah di Segamat, hari ini.

Katanya, bahan mudah terbakar itu mudah disambar api dalam jarak kurang satu meter selain mampu menyebabkan letupan.

“Petrol atau diesel tidak harus disimpan dalam tong plastik atau tin kerana haba panas yang terperangkap dalam bekas itu boleh menyebabkan letupan.

“Jika pekebun ingin menyimpan sedikit bahan api untuk kegunaan jentera pembajak atau peralatan berenjin lain, boleh letakkannya di lokasi selamat seperti di sekitar kebun,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menyimpan petrol dalam bekas diletak di ruang penyimpanan barang kenderaan.

Ini kerana, jika kenderaan dilanggar daripada belakang, ia boleh menyebabkan kebakaran.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya memastikan hos getah gas memasak tidak bocor selain memeriksa jangka hayatnya.

“Jadilah warga yang mampu menilai antara nasihat yang bernas atau pandangan yang tidak munasabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:05 PM