X
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama
Rafidah Mat Ruzki dan Mohd Anwar Patho Rohman


SEORANG Menteri Kabinet sudah diarahkan menjadi ahli mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di negeri masing-masing bagi mewakili Kerajaan Persekutuan bagi menyelaraskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat hari ini, dan berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, Menteri Kabinet itu akan menyampaikan maklumat dan keputusan Kerajaan Persekutuan dalam mesyuarat MKN negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi menyelaraskan segala tindakan yang akan diambil.

Beliau berkata, kerajaan menyedari di sesetengah negeri mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri dan berkemungkinan ada kekurangan dari segi penyelarasan.

“Mesyuarat memutuskan tadi bahawa seorang Menteri dari negeri itu akan diminta menjadi ahli mesyuarat MKN di peringkat negeri masing-masing.

“Ia akan berkuat kuasa serta-merta. Kita sudah meminta MKN memaklumkan kepada MKN negeri dan jika esok ada mesyuarat MKN di peringkat negeri, ia akan dihadiri oleh Menteri Kabinet yang mewakili Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Ketika ini, ada beberapa negeri yang mencatatkan pematuhan PKP yang tinggi manakala ada negeri lain masih rendah.

Sementara itu, menjelang lanjutan PKP selepas akhir bulan ini, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, MKN akan memperkenalkan SOP baharu yang lebih tegas berbanding sedia ada, Sabtu ini.

Katanya, fasa pertama PKP, biarpun mempunyai sekatan, ada banyak perkara yang seolah-olah dibenarkan atau mendapat pengecualian.

Beliau berkata, SOP baharu itu belum boleh diumumkan lagi namun MKN ia akan lebih tegas bagi memastikan langkah yang diperkenalkan berjaya menyekat penularan Covid-19 di negara ini.

“Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, yang mampu untuk menyekat penularan Covid-19 adalah tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Yang mampu memutuskan penularan adalah tuan-tuan dan puan-puan.

“Tanggungjawab kita untuk memastikan selepas dua minggu lagi tidak ada lagi sambungan kepada sekatan pergerakan ini.

“Kuasa yang ada di tangan tuan-tuan dan puan-puan. Seperti biasa saya katakan, kekal di rumah, kekal selamat,” katanya.

Ditanya sama ada ibu bapa yang akan dikenakan tindakan apabila ada anak-anak mereka yang merayau dan tidak mematuhi PKP, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia dan agensi lain yang terbabit dalam penguatkuasaan PKP.

Katanya, ketika ini, sekiranya terserempak, polis akan meminta mereka pulang semula ke rumah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:24 PM
    Digital NSTP Subscribe