ADZLI memeriksa suhu pengunjung di Pasar Taman Keladi, Sungai Petani. FOTO Nor Farhani Che Ad
ADZLI memeriksa suhu pengunjung di Pasar Taman Keladi, Sungai Petani. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


SUDAHLAH melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua lelaki yang ditahan hari ini turut dipercayai cuba mengedar dadah.

Kedua-duanya berusia 26 dan 33 tahun ditahan polis secara berasingan kira-kira 2 pagi di Merbok dan Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kedua-dua mereka dikesan berada di luar kawasan rumah masing-masing ketika rondaan anggota.

“Mereka didekati anggota dan pemeriksaan lanjut menemui sejumlah syabu.

“Kedua-duanya dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39A dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selain, Seksyen 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana mengingkari arahan PKP,” katanya ketika ditemui selepas memantau pelaksanaan PKP di Pasar Taman Keladi, Sungai Petani, hari ini.

Adzli berkata, semalam pihaknya turut menahan lelaki berusia 28 tahun di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani selepas keluar rumah tanpa alasan kukuh.

Menurutnya, purata 30 aduan diterima pihaknya sepanjang tempoh pelaksanaan PKP antaranya, kilang beroperasi tanpa kebenaran dan orang ramai berpusu-pusu di pasar raya.

“Kita memberi nasihat kepada mereka ini supaya mematuhi arahan dan mengambil tindakan lebih agresif sekiranya ada yang ingkar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:36 PM
    Digital NSTP Subscribe