ROSLEE Chik melakukan pemantauan sekatan jalan raya di Seberang Jertih. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
ROSLEE Chik melakukan pemantauan sekatan jalan raya di Seberang Jertih. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


ORANG awam yang ingin membuat laporan di balai polis di Terengganu ini perlu membuat saringan suhu badan terlebih bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, setiap balai akan dibekalkan pengimbas suhu khas bagi tujuan itu.

“Sekiranya suhu badan seseorang individu itu tinggi dan disyaki demam dia perlu pulang semula dan perlu merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan sekatan jalan raya di Seberang Jertih, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad dan Adun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Mengulas lanjut mengenai keadaan 40 pegawai dan anggota polis di Terengganu, yang dikuarantin disyaki dijangkiti Covid-19, beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan untuk mengesahkan sama ada mereka positif atau negatif.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 24 pegawai dan anggota termasuk Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dikuarantin di rumah dan Ibu Pejabat Polis Kemaman.

“Saya sempat bermesyuarat dengan mereka menggunakan sidang video termasuk dengan Hanyan.

“Beliau memaklumkan masih berupaya melakukan tugasan harian, memberi arahan dan memantau kerja kakitangan menggunakan kemudahan teknologi.

“Jika hasil ujian menunjukkan ramai pegawai dan anggota disahkan positif, kami bersedia menghantar pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPK) Terengganu untuk membantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman,” katanya.

Roslee berkata, kakitangan yang bertugas di IPD Kemaman masih mencukupi dan orang awam masih boleh membuat laporan polis di situ.

Selain itu, beliau berkata, kebajikan keluarga dan waris pegawai serta anggota yang dikuarantin akan sentiasa dipantau dan dibantu dari segi keperluan makan serta minum oleh unit khas kebajikan polis.

“Kita juga berterima kasih kepada kerajaan negeri yang banyak menyalurkan bantuan seperti makan minum untuk pegawai serta anggota yang terbabit dengan tugasan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami akan terus berusaha meningkatkan kepatuhan orang awam terhadap arahan PKP yang kini berada pada 95 peratus,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    h

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:46 PM
    Kabinet Malaysia 2020