GAMBAR hiasan. Ihsan MPK
GAMBAR hiasan. Ihsan MPK
Siti Rohana Idris


KERAJAAN Kelantan sedang mengumpul senarai semua peniaga dan penjaja kecil yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, senarai itu diperlukan bagi memudahkan pihaknya mengagihkan sumbangan yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, setakat ini seramai 20,000 peniaga dan penjaja kecil sudah disenaraikan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melalui senarai yang diperoleh, kita sudah mengumpulkan 20,000 orang dan akan terus mengesan yang lain kerana kita yakin masih ada lagi peniaga dan penjaja kecil yang turut terjejas.

“Sebaik senarai lengkap diperoleh, agihan akan dibuat dengan kadar segera sama ada dalam bentuk barang makanan atau wang tunai,” katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Nazran berkata, dari segi peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri, pihaknya sudah mula mengagihkan sumbangan itu ke beberapa pihak untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.

Bantuan itu termasuk daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang memperuntukkan sebanyak RM20,000 untuk setiap jajahan yang mana 50 orang asnaf akan dipilih di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, bagi peruntukan kerajaan negeri, sebanyak RM300 diperuntukkan untuk setiap asnaf yang layak dan diagihkan dalam bentuk barang makanan serta wang tunai.

“Kami juga mengagihkan RM20,000 kepada semua pegawai jajahan untuk tujuan itu termasuk menyediakan keperluan kepada petugas hadapan yang secara langsung terbabit dalam PKP.

“Hari ini kami menambahkan lagi peruntukan itu sebanyak RM10,000 menjadikannya RM30,000 untuk digunakan sekiranya masih ada asnaf yang tercicir dan baharu dikenal pasti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:48 PM
    Digital NSTP Subscribe