HAMDAN Hussin (kiri) menyampaikan bantuan khas kepada pemandu teksi secara pandu lalu di perkarangan ibu pejabat MPK, Kuantan. FOTO IHSAN MPK
HAMDAN Hussin (kiri) menyampaikan bantuan khas kepada pemandu teksi secara pandu lalu di perkarangan ibu pejabat MPK, Kuantan. FOTO IHSAN MPK


SERAMAI 271 pemandu teksi di daerah itu menerima bantuan khas tunai sekali bayar RM150 dan barang keperluan bernilai RM50 di perkarangan ibu pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kaedah pengagihan bantuan itu dilakukan secara pandu lalu sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

Ia disempurnakan Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin.

Ketua Seksyen dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, melalui kaedah pandu lalu itu, pemandu teksi tidak perlu turun daripada kenderaan mereka untuk mengambil bantuan itu.

Sebaliknya, katanya, pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan membantu meletakkan barangan makanan ke dalam kereta penerima.

"Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban dihadapi mereka yang terkesan secara langsung sumber pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seramai 271 pemandu teksi itu antara 17,935 individu di negeri ini menerima bantuan khas itu yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Isnin lalu.

Bantuan khas itu diberikan kepada golongan yang terkesan secara langsung dan terputus sumber bekalan berikutan PKP membabitkan peruntukan berjumlah RM3.587 juta.

Agihan bantuan khas itu diuruskan Pegawai Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu, beliau berkata, semua stesen minyak di daerah itu perlu mengambil langkah pencegahan penularan Covid-19 dengan memastikan setiap kawasan stesen disanitasi lebih kerap.

Katanya, langkah itu ialah dengan penyemburan cecair pembasmi kuman pada nozel pam, kaunter, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tandas.

"Selain itu, atendan pam dan petugas kaunter diminta menggunakan topeng mulut dan hidung serta sarung tangan getah.

"Bagi kedai serbaneka di semua stesen minyak di kawasan pentadbiran MPK, ia diarah tutup dari jam 7 malam hingga 7 pagi.

"Langkah ini diambil bagi memastikan orang ramai tidak berhimpun di kedai serbaneka stesen minyak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:53 PM
    Digital NSTP Subscribe