FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Audrey Dermawan


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini atas tiga pertuduhan, termasuk mengganggu penjawat awam melakukan tugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).

S Thiaagu, 35, yang diwakili peguam Cheah Eng Soon mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa menghalang tugas penjawat awam ketika sekatan jalan raya polis di Jalan Sultan Azlan Shah, Georgetown pada 1 pagi, Sabtu lalu.

Tertuduh juga mengaku menyebabkan kerosakan ke atas halangan polis atas tindakannya di sekatan jalan raya sama.

Thiaagu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu membahayakan dan merempuh sekatan yang boleh membahayakan nyawa polis bertugas selain orang awam.

Timbalan Pendakwa Raya Nabila Huda Muhammad Nazim tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Nur Fadrina Zulkhairi yang bertindak sebagai majistret bagi kes itu membenarkan jaminan RM10,000 dan RM5,000 bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Beliau juga memutuskan jaminan RM12,000 ke atas tertuduh bagi kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mei sebagai tarikh jatuh hukum dan sebut semula kes.

Media melaporkan pada 21 Mac lalu, polis terpaksa menghentikan Proton Wira Aeroback dipandu tertuduh di Jalan Sultan Azlan Shah, dengan seorang anggota menghalangnya dengan kayu ‘baton’.

Ketika pemeriksaan MyKad pemandu (tertuduh) dan seorang penumpang lelaki, tertuduh didakwa cuba beredar dan polis berjaya mengelak daripada dirempuh kereta tertuduh tetapi kayu ‘baton’ digunakan untuk menghalang, rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 5:00 PM
Digital NSTP Subscribe