Amir Abd Hamid


PROSES sanitasi dan nyahkuman akan dilaksanakan di lokasi dikenalpasti sebagai zon merah jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses berkenaan merangkumi premis awam yang menjadi tumpuan ramai seperti pasar dan masjid.

Mengulas lanjut, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta kemungkinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan tugas itu.

“Keutamaan proses pembersihan itu akan diberikan untuk lokasi diklasifikasikan sebagai zon merah, tumpuan awam dan yang mempunyai risiko tinggi penyebaran Covid-19 seperti pasar dan masjid.

“Proses pembersihan dan pencucian nyahcemar ini adalah untuk mengawal penularan Covid-19 daripada terus merebak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi menyelaraskan usaha Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam mengawal penularan Covid-19, mesyuarat hari ini memutuskan supaya seorang Menteri Persekutuan akan menyertai mesyuarat majlis keselamatan peringkat negeri.

“Keputusan meletakkan menteri (Persekutuan) akan bermula secepat mungkin, seorang menteri akan berada dalam setiap mesyuarat secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihak polis juga akan dibekalkan alat pengimbas suhu untuk mengesan suhu pengguna jalan raya yang melalui sekatan PKP.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah pun diminta untuk mendapatkan termometer itu untuk dibekalkan kepada polis.

“Selain itu topeng muka akan diagihkan kepada kumpulan barisan hadapan PKP ini termasuk polis, ATM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sebagainya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 5:19 PM
    PROSES sanitasi dan nyahkuman akan dilaksanakan di lokasi dikenalpasti sebagai zon merah jangkitan Covid-19. FOTO NSTP
    PROSES sanitasi dan nyahkuman akan dilaksanakan di lokasi dikenalpasti sebagai zon merah jangkitan Covid-19. FOTO NSTP
    Digital NSTP Subscribe