Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, menunjukan graf penurunan wabak penyakit Covid-19 di Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, menunjukan graf penurunan wabak penyakit Covid-19 di Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac 2020 memberi kesan apabila kes positif wabak Covid-19 di Sarawak semakin stabil.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, ketika PKP mula dikuatkuasakan, kes positif wabak itu agak tinggi iaitu 10 kes pada 21 Mac tetapi selepas itu jumlah kes positif menurun kepada lapan kes pada 22 Mac kemudian enam kes pada 23 Mac.

Beliau berkata, pada 24 Mac jumlah kes positif terus menurun kepada lima kes dan kemudian empat kes pada 25 Mac seterusnya kekal dengan empat kes, hari ini.

“Ini bermakna jumlah jangkitan positif Covid-19 kini menunjukkan trend stabil dalam tempoh sembilan hari PKP dan jika orang ramai terus mematuhi arahan, kemungkinan selepas 14 hari PKP pertama ini, jumlah jangkitan akan terus menurun.

“Objektif kita ialah mencatatkan jumlah sifar bagi kes positif Covid-19 pada hari seterusnya,” katanya pada pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Justeru, Abang Johari merayu rakyat Sarawak terus mematuhi PKP dan tidak keluar dari rumah jika tiada urusan benar-benar penting.

Mengenai 20 pekerja ladang warga Indonesia yang dari Sri Aman yang dihantar menjalani kuarantin di Kota Samarahan semalam, Abang Johari berkata, pihak perubatan sedang meneliti keadaan mereka.

“Pada mulanya mereka memang dihantar ke Kota Samarahan tetapi selepas itu dibawa balik semula ke Sri Aman untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di Sri Aman.

“Jika pegawai perubatan mengesahkan mereka bebas daripada jangkitan wabak itu, mereka dibenarkan untuk kembali ke ladang kelapa sawit berkenaan,” katanya.

Difahamkan, salah seorang warga Indonesia itu baru tiba di negeri ini pada 12 Mac lalu melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu dan melapor diri di ladang kelapa sawit berkenaan pada 13 Mac.

Dia dikatakan mengalami demam, batuk dan sesak nafas kemudian diikuti 19 lagi rakan senegaranya mengalami simptom sama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 5:32 PM
    Digital NSTP Subscribe