ZULKIFLI bersama Nooraimey bersama anak mereka, Mohamad Zulhamizi, 15, (kanan) serta Nur Shasya Alyssa menikmati lontong sebagai hidangan tengah hari. FOTO Amran Hamid.
ZULKIFLI bersama Nooraimey bersama anak mereka, Mohamad Zulhamizi, 15, (kanan) serta Nur Shasya Alyssa menikmati lontong sebagai hidangan tengah hari. FOTO Amran Hamid.
Noorazura Abdul Rahman


“SAYA terpaksa catu makanan supaya dapat dimakan sehingga malam, selalunya saya masak bubur nasi berikutan bekalan beras hampir habis,” kata Nooraimey Othman, 41.

Peniaga pasar malam ini berkata, keluarganya kini terputus mata pencarian dan terpaksa berharap kepada ihsan saudara mara serta Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) demi kelangsungan hidup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, dia hanya masak sekali sehari dengan hanya satu menu lauk memandangkan anak-anaknya kerap makan dalam tempoh ini.

“Seperti dua hari lalu saya masak bubur nasi, mereka boleh makan berulang hingga malam, hari ini pula saya masak lontong, saya pelbagaikan cara memasak supaya anak saya jemu,” kata ibu kepada tiga anak ini.

Nooraimey berkata, dia kini buntu untuk mencari duit bagi membeli barang keperluan lain berikutan wang bantuan LZNK sebanyak RM500 sebulan digunakan bagi keperluan perubatan suaminya, Zulkifli Abd Hamid, 42, yang menghidap angin ahmar dan hampir buta.

Sementara, anak bongsunya yang berusia tujuh tahun adalah orang kurang upaya (OKU) autisme.

“Saya juga perlu membayar sewa rumah RM350 sebulan, saya sudah tak tahu di mana hendak cari duit kerana perlu melalui PKP lagi tiga minggu.

“Hendak habiskan seminggu pun perit untuk kami sekeluarga, saya harap lebih banyak bantuan kerajaan kami akan dapat selepas ini,” katanya yang tinggal di Taman Pertama, Pokok Sena, Kedah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 5:36 PM