Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg (tengah).
Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg (tengah).
Mohd Roji Kawi


SARAWAK membentuk jawatankuasa khas bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 14 April depan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

“Jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk memantau semua bekalan makanan untuk rakyat mencukupi.

“Ia termasuk memastikan penduduk yang tinggal jauh di pedalaman tidak menghadapi masalah bekalan keperluan harian,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata, turut ditubuhkan jawatankuasa keselamatan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk meningkatkan lagi langkah keselamatan sedia ada sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.

“Kawalan sempadan kini ditingkatkan dan pemantauan rapi terhadap lalu lintas manusia di sempadan dijalankan untuk mencegah virus import,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri kini sedang memantau dengan teliti kesan wabak Covid-19 terhadap rakyat.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan mengkaji dari masa ke semasa kesan ekonomi susulan PKP dan akan berusaha untuk mencari penyelesaian bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.

“Apabila PKP dilanjutkan selama dua minggu lagi hingga 14 April, saya memohon kerjasama semua rakyat Sarawak untuk mematuhi PKP dengan untuk terus berada di rumah.

“Jika kita mematuhi sepenuhnya PKP, ada kemungkinan yang baik untuk kita bebas daripada Covid-19 kerana kita dipisahkan dari Semenanjung Malaysia oleh Laut China Selatan yang seharusnya memberi kita kelebihan untuk menghentikan rangkaian jangkitan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:02 PM
    Digital NSTP Subscribe