HIMPUNAN Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi dibatalkan pihak berkuasa Indonesia. FOTO Bernama
HIMPUNAN Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi dibatalkan pihak berkuasa Indonesia. FOTO Bernama
Nurul Amanina Suhaini


SERAMAI 36 jemaah tabligh Malaysia dari himpunan Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia, sudah pulang menerusi pengangkutan feri di Johor, sejak 23 Mac lalu.

Difahamkan, kesemua jemaah tabligh yang balik itu sudah menjalani pemeriksaan kesihatan dan diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, kesemuanya tiba melalui laluan Terminal Feri Antarabangsa Stulang, Stulang Laut, dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, dekat Iskandar Puteri.

Katanya, pihaknya menjangkakan 30 lagi jemaah tabligh Malaysia dari himpunan berkenaan tiba dalam tempoh terdekat.

“Hari ini, kita terima lapan lagi jemaah tabligh yang balik dari laluan Makassar, Indonesia ke Puteri Harbour, Iskandar Puteri. Mereka adalah pakej (kumpulan) lima yang tiba sejak 23 Mac lalu.

"Sejak 23 Mac lalu, pakej pertama yang mula tiba seramai 11 jemaah tabligh, pakej kedua (5), pakej ketiga (5), manakala pakej keempat seramai tujuh jemaah tabligh.

"Baki yang akan tiba itu nanti mereka hanya ada dua pilihan untuk pulang, sama ada di Stulang ataupun di Puteri Harbor, tidak ada laluan lain selain dua ini yang digunakan untuk balik," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Balai Ketibaan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, dekat Iskandar Puteri, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:27 PM
Digital NSTP Subscribe