ANTARA kakitangan dan pelajar UTHM yang berjaya mencipta pelindung muka 3D. FOTO Ihsan UTHM
ANTARA kakitangan dan pelajar UTHM yang berjaya mencipta pelindung muka 3D. FOTO Ihsan UTHM
Essa Abu Yamin

KAKITANGAN dan penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor mencipta pelindung muka tiga dimensi (3D) bagi membantu petugas barisan hadapan COVID-19.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) UTHM Prof Dr Shahruddin Mahzan berkata, pihaknya sudah menghasilkan kira-kira 500 pelindung muka sejak inisiatif itu dimulakan 23 Mac lalu.

“Sehingga kini, 30 unit sudah diedarkan kepada petugas di kampus manakala 200 unit diedarkan kepada Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

“Sebanyak 300 unit lagi akan diagihkan kepada Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat,” katanya pada kenyataan hari ini,

Menurut beliau, projek itu dicetuskan dan dipantau Kelab Staf UTHM (KSUTHM) diketuai Prof Madya Dr Ahmad Jais Alimin yang kemudiannya dijayakan oleh pasukan lapangan diketuai Prof Madya Dr Mustaffa Ibrahim.

“Pasukan lapangan ini beroperasi menggunakan konsep berbilang stesen yang mana lapan stesen terbabit dengan setiap satunya mempunyai sekurang-kurangnya satu mesin pencetak 3D,” katanya.

Tambah Shahruddin, selepas proses komponen utama siap dibuat di setiap stesen, komponen itu dihantar ke stesen akhir di bawah kendalian Dr Mustaffa bagi pemasangan, pembasmian kuman dan pembungkusan.

“Pelindung muka yang dihasilkan akan dibungkus dengan rapi selain turut dipantau kualitinya sebelum diserahkan kepada kumpulan sasaran.

“Kami mewakili universiti menyeru saintis, jurutera dan juruteknologi di seluruh negara untuk turut sama tampil membantu dan menyokong petugas barisan hadapan negara yang bertungkus lumus mengekang Covid-19,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:53 PM
Digital NSTP Subscribe