AIDIL Aziz Hanafi (kiri) mengagihkan bantuan khas bekalan makanan kepada keluarga terjejas di kawasan pentadbirannya. FOTO IHSAN PEJABAT PENGHULU
AIDIL Aziz Hanafi (kiri) mengagihkan bantuan khas bekalan makanan kepada keluarga terjejas di kawasan pentadbirannya. FOTO IHSAN PEJABAT PENGHULU
Mohamed Farid Noh


KERAJAAN negeri kini sedang mengagihkan bantuan khas bekalan makanan kepada lebih 20,000 penerima di negeri ini yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Zaiton Ismail berkata, agihan bantuan khas itu dibuat menerusi peruntukan diumumkan Menteri Besar Datuk Hasni Muhammad minggu lalu.

Kata Zaiton, bantuan khas bekalan makanan itu untuk golongan yang terjejas sama ada membabitkan hilang mata pencarian atau tidak dibayar gaji sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Bantuan ini diagih kepada lebih 20,000 keluarga terjejas di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Ada agihan yang sudah selesai dijalankan sejak ia bermula Isnin lalu.

“Di kawasan saya di Sungai Balang, Muar, 158 keluarga atau penerima terjejas sudah mendapat bantuan khas keperluan makanan itu membabitkan peruntukan RM15,800.

“Baki peruntukan RM4,200 pula diguna untuk membeli cecair pembasmi kuman bagi diagih kepada petugas barisan hadapan di Muar,” katanya dihubungi.

Sementara itu, Zaiton yang juga ADUN Sungai Balang berkata, proses mengumpul nama penerima bantuan khas bekalan makanan kepada keluarga terjejas menerusi peruntukan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang diumumkan Hasni semalam sedang berjalan.

“Kerajaan negeri menganggarkan lebih 20,000 penerima dalam kalangan keluarga terjejas akan menerima bantuan bekalan makanan MAINJ ini.

“Nama penerima daripada setiap mukim akan dikumpul sebelum pejabat daerah menyelaras pengagihan bantuan berkenaan.

“Menteri Besar juga akan mengumumkan bantuan khas terutama bekalan makanan segera ini secara berperingkat setiap minggu bagi membantu meringankan beban keluarga terjejas sepanjang PKP, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 7:19 PM