KTMB
KTMB
Raja Noraina Raja Rahim


KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) memulakan kempen ‘Kibar Jalur Gemilang’ sebagai solidariti rakyat Malaysia bersama memerangi penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata, inisiatif itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat dalam memberi kesedaran dan galakan menyokong usaha kerajaan.

“Kami berharap kempen itu mampu meningkatkan semangat patriotisme dan moral rakyat khusus kepada adiwira barisan hadapan yang sedang berjuang mengekang penularan wabak itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Jalur Gemilang mula dikibarkan di Ibu Pejabat KTMB di Jalan Sultan Hishammuddin dan pengibaran juga akan dilakukan di semua stesen rangkaian KTMB seluruh negara.

“Saya menyeru orang ramai yang kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melakukan apa sahaja bagi menyahut seruan itu.

“Ia boleh dilakukan sekecil-kecil menggunakan imej Jalur Gemilang atau ikon di aplikasi WhatsApp serta memuat naik status melalui media sosial. Tambah pula penggunaan telefon pintar amat tinggi ketika ini kerana rata-rata berada di rumah,” katanya.

Katanya, Jalur Gemilang sentiasa menjadi manifestasi kesatuan dan semangat juang rakyat Malaysia melangkau zaman serta cabaran.

“Inilah masa melakukan penzahiran itu apatah lagi dalam waktu getir sebegini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 7:27 PM
    Digital NSTP Subscribe