Sr Mohd. Salem Kailany(tiga dari kiri) ketika memberi sumbangan kepada Hospital Sungai Buloh. FOTO NSTP
Sr Mohd. Salem Kailany(tiga dari kiri) ketika memberi sumbangan kepada Hospital Sungai Buloh. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


UDA Holdings Berhad (UDA) menyumbangkan lebih RM100,000 meliputi bantuan barangan dan keperluan bagi membantu hospital serta petugas perubatan barisan hadapan dalam menangani penularan pandemik koronavirus baharu (Covid-19) di negara ini.

Sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi UDA Cares itu disalurkan terus ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Hospital Sungai Buloh (HSB) yang dalam kesiapsiagaan menghadapi peningkatan kes.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany berkata, pihaknya menghargai penat lelah dan usaha berterusan petugas perubatan barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani Covid-19.

Menurutnya, dengan jumlah kes yang semakin meningkat, pihak hospital semestinya memerlukan pelbagai bantuan dalam melaksanakan usaha-usaha mereka.

“HSB antaranya bakal membuka wad tambahan dari infrastruktur dan bangunan lama bertujuan menampung jumlah pesakit yang dijangka meningkat.

“Melihat pada keperluan ini, UDA terpanggil membantu pihak hospital supaya usaha menyediakan wad tambahan yang selesa kepada pesakit dapat dilaksanakan selain membantu petugas perubatan barisan hadapan memberikan perkhidmatan terbaik.

“Inisiatif ini juga selari dengan satu teras perniagaan UDA iaitu memperkasa gaya hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumbangan diserahkan kepada wakil Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Singh Dhillon.

Mohd Salem berkata, barangan dan keperluan seperti televisyen dan thermopot adalah bagi kegunaan pesakit dan petugas perubatan.

“Barangan dihantar ke beberapa lokasi seperti Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Pusat Kawalan Kusta Negara, Bilik Gerakan Unit Kesihatan Awam dan Bilik Gerakan Covid HSB.

“UDA juga dalam usaha untuk mendapatkan telefon pintar dan set sofa bagi keperluan pihak hospital,” katanya.

Menurutnya, UDA turut bekerjasama dengan syarikat infrastruktur telekomunikasi, edotco Malaysia untuk merapatkan jurang kesalinghubungan di sekitar kawasan HSB.

“Edotco Malaysia dengan segera memasang secara percuma infrastruktur khas, edotco Mobile Solution (eMOS) yang kini sudah sedia dan membolehkan pengendali rangkaian mudah alih untuk meningkatkan liputan dan kapasiti kepada pengguna.

“Pada masa sama, anak syarikat UDA, UDA Dayaurus Sdn Bhd turut mengambil bahagian dan membantu dalam proses pemasangan televisyen,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 8:29 PM
    Digital NSTP Subscribe