GAMBAR hiasan. FOTO Shahril Badri Saali.
GAMBAR hiasan. FOTO Shahril Badri Saali.
BERNAMA

SULTAN Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff hari ini berkenan mengurniakan sumbangan peralatan perubatan bernilai lebih RM300,000 kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi merawat pesakit Covid-19.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri DiRaja Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin turut berkenan mengurniakan sumbangan itu.

Peralatan perubatan itu adalah 20 unit katil mekanikal, mindray VP5 (10) dan Mindray SP5 (lima), infusion pump, electrical bed (lima) dan masing-masing satu medical emergency cart, defibrillator, Mindray BeneHeart R3A ECG 3CH, Mindray VS600 serta Biological Isolation Chamber.

Sumbangan kurniaan Kerabat Diraja Kedah itu disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim yang mewakili Sultan Sallehuddin kepada Pengarah HSB Dr Zaiton Udin dan disaksikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Mohd Fikri Ujang di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Dalam titah ucapan Sultan Sallehuddin yang dibacakan Ammar, baginda menitahkan agar rakyat Kedah untuk terus menjaga kesihatan dan kebersihan masing-masing berikutan Kedah mencatatkan sebanyak 69 kes kumulatif sehingga petang Rabu.

“Rakyat dinasihatkan agar memastikan suasana sekeliling mereka terutamanya persekitaran rumah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terjaga.

“Selain itu, kerap mencuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengamalkan jarakan sosial. Rakyat juga diseru untuk mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari kesembilan dan terus berada di rumah sekiranya tidak mempunyai urusan penting atau hal kecemasan. “Diharap tiada sebarang aktiviti sosial atau berkumpul di luar rumah dilakukan sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan semua berada dalam keadaan selamat,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan rakyat supaya tidak melakukan pembelian panik kerana kerajaan memberi jaminan barangan keperluan mencukupi dan perkara paling penting adalah jangan menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19.

Sementara itu, Dr Mohd Fikri berkata, sumbangan daripada Kerabat Diraja Kedah itu sememangnya amat bermakna dan bertepatan kerana negeri ini turut berdepan wabak ini.

“Kita sentiasa terbuka untuk menerima sumbangan dari badan bukan kerajaan (NGO) sama ada dalam bentuk perubatan atau yang ingin membantu petugas yang berkhidmat di hospital.

“Buat masa ini, kita sedang berusaha mendapatkan semua peralatan perubatan berkaitan untuk menangani wabak ini termasuk peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    h

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 9:13 PM