Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
Mohd Amin Jalil


KERAJAAN Negeri Sembilan menyediakan inisiatif bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM13.74 juta sebagai usaha meringankan beban rakyat ketika berhadapan saat sukar berikutan Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak lapan kriteria bantuan disediakan dalam pakej berkenaan bagi meringankan beban kewangan ditanggung rakyat.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM3 juta bantuan disalurkan kepada peniaga kecil atau penjaja berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kadar RM300 seorang.

“Selain itu, bantuan RM1 juta kepada pemandu teksi/kereta sewa/e-hailing Negeri Sembilan yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan kadar RM300 seorang.

“Sebanyak RM5 juta pula ke Akaun Amanah Permasalahan Rakyat tertakluk kepada keperluan sebenar bagi bantuan keperluan asas kepada golongan berpendapatan rendah dan pekerja harian yang pendapatannya terjejas akibat Covid-19.

“Turut mendapat manfaat ialah pesakit Covid-19 dan ahli keluarganya sebanyak RM500 bagi setiap keluarga membabitkan bantuan RM500,000,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Aminuddin berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi bantuan keperluan kepada petugas barisan hadapan Covid-19 di Negeri Sembilan.

Menurutnya, penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) pula akan diberikan pengecualian sewa PPR bagi Mac dan April dengan anggaran peruntukan RM1.24 juta dan pengecualian sewa gerai kepada mereka yang terbabit untuk Mac dan April di semua PBT.

“Sebanyak RM2 juta untuk keperluan lain (kontigensi) ketika penularan Covid-19.

“Kita akan menilai semula inisiatif ini dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan sesuai dengan perkembangan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 9:13 PM
    Digital NSTP Subscribe