GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP

Bernama

SEORANG individu berhati mulia apabila hari ini menyumbangkan sebuah mesin Real Time Polmerase Chain Reaction (PCR) Detection System bernilai RM148,000 untuk kegunaan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) Hospital Sibu menjalankan ujian pengesanan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

Sumbangan daripada penderma enggan dikenali itu dibuat melalui Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr Annuar Rapa’ee, yang menyerahkan peralatan itu kepada Pengarah Hospital Sibu, Dr Mohamad Ng Siah Huat pada satu majlis ringkas di Sibu.

Dr Annuar berkata, sumbangan itu menjadikan pusat itu sekarang dilengkapi dua unit mesin berkenaan dan sekali gus meningkatkan lagi kemampuannya untuk menjalankan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 di daerah Sibu dan sekitarnya.

“Mesin baharu ini diterbangkan khas dari Kuala Lumpur hari ini dan ia tambahan kepada mesin yang sedia ada di Hospital Sibu. Takut ada breakdown (kerosakan) jadi perlu ada dua unit. Terima kasih kepada hamba Allah yang menderma,” katanya.

Selain itu, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka berkata Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu akan mula mengedarkan barangan makanan dan keperluan harian, esok dan lusa kepada hampir 2,000 penduduk di sini, bagi mengurangkan beban mereka semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 10:51 PM
    Digital NSTP Subscribe