Zuhainy Zulkiffli


TUJUH lelaki berusia 23 hingga 56 tahun ditahan ketika Op Covid-19 di Pulau Tikus, dekat Georgetown, selepas didapati ingkar Perintah Larangan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan penahanan itu pada 6.10 petang semalam.

Beliau berkata, ketika operasi dijalankan, anggota polis melalui kawasan padang di Jalan DS Ramanathan, dan terserempak sekumpulan enam lelaki bermain bola sepak, manakala seorang lagi berjoging.

“Kesemuanya dibawa ke balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut dan mereka tidak memiliki barangan yang menyalahi undang-undang ketika pemeriksaan dijalankan pada tubuh.

“Mereka ditahan kerana melanggar perintah PKP yang mana kelakuan itu dikhuatiri boleh merebakkan jangkitan penyakit berbahaya,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Kerajaan sudah mengumumkan tempoh PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu dilanjutkan sehingga 14 April depan dan orang ramai perlu mematuhi arahan sepanjang tempoh itu.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, kesemua mereka akan direman hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 12:15 AM
    LELAKI yang ditahan kerana ingkar terhadap PKP. FOTO Ihsan Pembaca
    LELAKI yang ditahan kerana ingkar terhadap PKP. FOTO Ihsan Pembaca
    Digital NSTP Subscribe