AMIRUDIN SHARI
AMIRUDIN SHARI
Norzamira Che Noh


KERAJAAN Selangor melaksanakan program ‘Selangor Agro Market’ di beberapa lokasi bermula, hari ini, bagi memastikan penduduk dapat membeli sayuran dan buahan segar pada harga berpatutan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu berikutan pihaknya mengesan masalah dalam rantaian pembekalan barangan berkenaan, mengakibatkan berlakunya lambakan sayuran dan buahan tidak terjual dalam pasaran ketika ini.

“Lambakan akhirnya membawa kepada pembuangan barangan berkenaan, sehubungan itu, Selangor Agro Market akan bertindak sebagai lokasi penyimpanan dan jualan bahan seperti sayuran serta buahan.

“Ia juga bermatlamat untuk membantu golongan petani supaya rangkaian bekalan barangan berkenaan tidak putus,” katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta dalam bentuk dana kitaran untuk dimanfaatkan bagi tujuan penyimpanan dan jualan barangan itu di lokasi terpilih.

Katanya, program fasa pertama di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin yang diselaraskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu berkonsepkan secara ‘pre-order’ (tempahan awal) atau ‘walk-in’ (pembelian terus).

“Fasa kedua pula katanya akan diumumkan minggu hadapan kerana membabitkan perbincangan dengan pasar raya utama bagi tujuan membekal dan mengedar barangan berkenaan

“Ini adalah sepenuhnya inisiatif kerajaan negeri dan pengumuman fasa kedua Pakej Rangsangan Selangor Prihatin akan diumumkan minggu hadapan,” katanya.

Orang ramai boleh membuat pesanan secara dalam talian di laman web www.agrobazaar.com.my dan mengambilnya di tiga lokasi yang ditentukan iaitu di Holysmoke Cafe, Seksyen 13 dan Restoran Mak Uda, Seksyen 15 di Shah Alam serta Mad About Cafe, Petaling Jaya.

Pengguna juga boleh datang sendiri untuk membeli bahan mentah berkenaan iaitu di Pusat Operasi FAMA di Dengkil, Puchong, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, selain pasar borong tani Selayang serta My Farm Outlet Putrajaya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 10:14 AM
    Digital NSTP Subscribe