GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


DUA individu di Kuantan kerugian lebih RM5,000 selepas diperdaya dalam urusan jual beli penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kes pertama, seorang mekanik berusia 29 tahun rugi RM3,348 selepas terpedaya dengan iklan jualan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman yang tidak wujud.

“Pada 18 Mac lalu, mangsa tertarik dengan iklan jualan cecair pembasmi kuman di Facebook sebelum berurusan dengan seorang lelaki.

“Hasil perbincangan, mangsa bersetuju membeli bahan berkenaan sebanyak 100 botol dengan harga RM2,500.

“Pada hari sama, mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM2,500 ke dalam akaun yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pada 19 Mac lalu, mangsa tertarik pula dengan jualan penutup hidung dan mulut di Facebook sebelum berurusan dengan seorang lelaki.

“Mangsa bersetuju untuk membeli sebanyak 80 kotak penutup mulut hidung dan mulut dengan harga RM848 sebelum membuat pindahan wang.

“Namun, sehingga laporan dibuat mangsa masih belum menerima barangan berkenaan. Jumlah kerugian yang pengadu alami RM3,348,” katanya.

Sementara itu, seorang kontraktor wanita berusia 45 tahun kerugian RM1,976 selepas diperdaya dalam urusan jual beli penutup mulut dan hidung, 23 Mac lalu.

Mohd Wazir berkata, pada hari kejadian mangsa melayari Facebook dan melihat jualan barang berkenaan sebelum berhubung dengan seorang wanita dan bersetuju membeli 83 kotak topeng muka berharga RM1,976.

“Mangsa membuat empat kali pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan namun sehingga hari ini wanita berkenaan masih belum menerima penutup mulut dan hidung berkenaan.

“Kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 10:31 AM
Digital NSTP Subscribe