ZAMAKHYARI turut memakai topeng muka, bercermin mata ‘goggle ski’ dan berkasut ‘but’ getah. FOTO BERNAMA
ZAMAKHYARI turut memakai topeng muka, bercermin mata ‘goggle ski’ dan berkasut ‘but’ getah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

DEMI memastikan dirinya dilindungi daripada Covid-19, seorang jurutera sanggup memakai pakaian perlindungan diri yang dibuatnya sendiri daripada beg plastik sampah, ketika mengunjungi sebuah pasar raya, di Kuala Terengganu.

Bagi melengkapkan set pakaian keselamatannya itu, Zamakhyari Khairiri, 41, turut memakai topeng muka, bercermin mata ‘goggle ski’ dan berkasut ‘but’ getah.

Bapa kepada tiga anak yang tinggal di Kampung Bukit Payong itu berkata, walaupun ada yang memandang pelik apabila melihat penampilannya, namun beliau tidak mengambil kisah mengenainya, asalkan beliau berasa selamat berada di tempat awam.

“Saya tidak kisah dengan keadaan ini, malahan merasa bangga kerana ia boleh menjadi satu cara berkempen, bagi mengingatkan orang awam akan langkah yang perlu dilakukan bagi membendung virus ini.

“Tempat seperti ini (pasar raya) mempunyai potensi yang tinggi untuk terkena jangkitan virus itu (Covid-19), dan ini adalah ikhtiar kecil yang saya lakukan demi menjaga keselamatan keluarga dan orang sekeliling daripada virus itu,” katanya ketika ditemui Bernama, semalam.

Beliau mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memakai semua kelengkapan itu dengan dibantu anak-anaknya.

Zamakhyari menambah semalam kali pertama beliau keluar dari rumah, untuk membeli barangan makanan dan keperluan keluarganya, setelah lapan hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 11:19 AM
    Digital NSTP Subscribe