Baharom Bakar


JANGAN panik dan amalkan pembelian secara berhemah bagi memastikan bekalan keperluan harian sentiasa mencukupi, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Menurutnya, stok barangan keperluan asas mencukupi untuk menampung keperluan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tegasnya, kerajaan yakin jaminan semua bekalan makanan mencukupi selepas pengeluar utama bahan keperluan asas memberi jaminan bekalan tidak akan terputus sepanjang tempoh PKP.

“Tetapi rakyat perlu mengamalkan pembelian secara berhemah dan tidak panik, serta membuat pembelian mengikut kegunaan.

“Hasil tinjauan dilakukan sehari sebelum kerajaan mengumumkan PKP, kita dapati rakyat membeli barangan secara panik sehingga menimbulkan kegusaran kalangan kerajaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kerajaan juga turut memberi jaminan tiada kenaikan harga barangan berlaku.

“Kita sudah mengarahkan pegawai dan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengaktifkan operasi.

“Kerajaan tidak akan berkompromi, peniaga yang didapati mengambil kesempatan menaikan harga barangan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Rosol menambah, hasil pemeriksaan dilakukan selepas kerajaan mengumumkan tempoh lanjutan PKP sehingga 14 April depan mendapati stok bekalan barangan keperluan asas mencukupi.

“KPDNHEP akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan mengadakan pertemuan dengan pemain industri bekalan makanan untuk memastikan barangan keperluan asas termasuk beras, gula, tepung mencukupi, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 11:39 AM
Digital NSTP Subscribe